SPR Buka Permohonan Pemerhati Pilihan Raya Bagi PRN Sabah Ke-17

SPR Buka Permohonan Pemerhati Pilihan Raya Bagi PRN Sabah Ke-17

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini membuka permohonan kepada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan-badan berkepentingan untuk menjadi pemerhati pilihan raya sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, tawaran ini memberi peluang kepada badan yang berminat untuk memerhati secara langsung keseluruhan perjalanan pilihan raya bermula daripada proses penamaan calon sehinggalah kepada pengumuman keputusan rasmi.

“SPR menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, NGO atau mana-mana badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17. Pemerhati akan diberi akses untuk melihat perjalanan pilihan raya dari proses penamaan calon hingga keputusan diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Permohonan bagi menjadi pemerhati dibuka mulai Khamis, iaitu kelmarin, sementara tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Khas SPR bagi PRU DUN Sabah ke-17 diadakan.

Pemerhati pilihan raya berperanan penting dalam memastikan ketelusan, keadilan dan integriti proses pilihan raya melalui pemantauan bebas yang dilaksanakan mengikut garis panduan ditetapkan SPR.

Orang ramai dan organisasi yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta garis panduan permohonan melalui portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my.

Kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa penyertaan badan pemerhati adalah sebahagian daripada usaha SPR untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap sistem demokrasi dan memastikan proses pilihan raya negeri Sabah berjalan secara bebas, adil dan telus.