KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), rakyat di negeri ini diseru untuk terus mempertahankan semangat perjuangan #SabahTanahAirku bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kesinambungan kepada usaha pembangunan dan perpaduan negeri.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, semangat #SabahTanahAirku melambangkan tekad dan kesetiaan rakyat Sabah dalam menjaga serta memajukan negeri ini berlandaskan semangat perpaduan dan rasa cinta tanah air.
“Menjelang PRN Sabah, marilah kita mengimbas kembali semangat perjuangan yang menjadi tunjang kepada GRS sejak penubuhannya.
“Gagasan #RumahKitaKitaJaga dan #KitaJagaSabah yang diperkenalkan oleh Presiden Gagasan Rakyat merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, bukan sekadar slogan tetapi falsafah politik yang menyeru tanggungjawab bersama untuk menjaga negeri ini dalam semangat kebersamaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Nizam, konsep tersebut melengkapi empat teras utama perjuangan GRS termasuklah, #SabahFirst, #SabahForward, #SabahProsper dan #SabahUnited, yang diasaskan atas semangat #SayangiSabah semasa pelancaran rasmi gabungan itu pada 28 Mei 2022.
“Teras-teras ini menjadi panduan kepada perjuangan GRS dalam memastikan pentadbiran negeri meletakkan rakyat Sabah sebagai keutamaan, berpandangan jauh ke hadapan, membangunkan kemakmuran bersama dan menyatukan rakyat dalam kepelbagaian,” ujarnya.
Beliau turut mengimbas bahawa semasa Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat pada Julai 2025, lahirnya gagasan #SabahTanahAirku, yang meneguhkan semangat kecintaan, kesetiaan dan tanggungjawab terhadap negeri Sabah.
“Tagline #SabahTanahAirku menjadi simbol kepada kesinambungan perjuangan GRS dari membina rumah yang kukuh untuk rakyat, menjaga negeri dengan penuh kasih, membawa Sabah ke hadapan dengan kemajuan, dan menyatukan semua dalam satu cita-cita bersama sekali gus menjadikan Sabah lebih maju, berjaya dan sejahtera,” tambah beliau.
Nizam menegaskan bahawa menjelang PRN kali ini, rakyat Sabah perlu terus berpegang kepada semangat perjuangan tersebut agar agenda pembangunan negeri di bawah pimpinan GRS dapat diteruskan tanpa gangguan.
“GRS komited meneruskan perjuangan untuk Sabah yang bersatu, berdaulat dan makmur. Dalam PRN kali ini, marilah kita bersama GRS meneruskan semangat #RumahKitaKitaJaga, #KitaJagaSabah dan #SabahTanahAirku,” katanya.






