Peguam Yang Hina Masyarakat KDMR Bersetuju Untuk Bayar Sogit

Peguam Yang Hina Masyarakat KDMR Bersetuju Untuk Bayar Sogit

0
SHARE
Jeffrey (duduk kanan) bersama Marcel menandatangani perjanjian permohonan maaf sambil disaksikan ahli-ahli tertinggi Persatuan Budaya Kadazan Dusun...

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Budaya Kadazan Dusun (KDCA) hari ini mencapai kesefaham dengan peguam Marcel Jude Joseph dalam menyelesaikan isu penghinaan beliau terhadap masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).

Timbalan Presiden KDCA Bulawan Sigah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan mengatakan Marcel telah bersetuju untuk membayar ‘sogit’ yang berjumlah tujuh ekor kerbau kepada masyarakat KDMR, melalui KDCA, dalam 14 hari bermula hari ini.

Selain itu, Joseph juga diminta untuk memohonan maaf secara umum sepanjang separuh halaman muka surat melalui akhbar tempatan pilihannya .

“Perjanjian ini akan didaftarkan di Mahkamah Anak Negeri di Penampang. Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk tidak lagi memanjangkan hal berkenaan…

“Bagi pihak KDCA dan semua persatuan yang berafiliasi dengan kami, kami telah bersetuju untuk tidak meneruskan tindakan makhamah terhadap Joseph, dan kami menganggap perkara ini ditutup.

“Oleh itu, kami meminta seluruh masyarakat Kadazandusun untuk membuang yang keruh dan melakukan apa yang selalu kami lakukan, iaitu untuk mempromosikan perdamaian dan saling bermaafan,” katanya.

Jeffrey menjelaskan bahawa resolusi itu mendapat restu dari Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang turut menuntut agar isu ini tidak berlarutan.

Jumlah kerbau itu ditentukan oleh tujuh jenis adat dan tradisi KDMR.

“Kepentingan permohonan maaf kepada masyarakat KDMR ini tidak dapat dipertikaikan. Walaupun Joseph telah meminta maaf kepada jawatankuasa Unduk Ngadau dan para peserta, beliau juga telah setuju untuk mengeluarkan permintaan maaf kepada orang awam yang lain,” katanya.

Untuk memastikan masalah ini tidak berulang, Jeffrey menyatakan bahawa Huguan Siou telah mengarahkan KDCA untuk mendirikan batu sumpah di kawasan KDCA yang menyenaraikan adat dan tradisi terpenting orang KDMR.

Setiap kampung juga disaran untuk membangunkan batu sumpah mereka sendiri atau satu notis tetap yang menyeneraikan adat dan tradisi mereka yang mesti dihormati oleh anggota masyarakat dan orang luar yang masuk ke kampung berkenaan.

Mengenai KDCA, Joseph menyatakan penyesalannya kerana menyinggung perasaan komuniti KDMR, dengan menegaskan bahawa dia tidak pernah bermaksud untuk menyakitkan hati sesiapa terutamanya masyarakat KDMR.

Mengulas mengenai hasil perjanjian itu, ketua panitia Unduk Ngadau, Tindarama Joanna Kitingan mengatakan bahawa kaum wanita selalu dijunjung tinggi dalam komuniti KDMR.

“Kerana wanita memainkan peranan penting, terutamanya dari aspek rohani, menghina wanita dalam masyarakat kita dianggap sesuatu yang sangat menyinggung…

“Anda telah datang ke tanah kami dan menikmati hasil dari tanah kami. Adalah bijaksana untuk belajar tentang sejarah kami dan menghormati adat istiadat kami,” katanya.

Terdahulu peguam terbabit telah menyamakan acara Unduk Ngadau seperti “pertunjukkan lembu eksotik” semasa membela anak guamnya yang sedang berhadapan tuduhan percabulan peserta acara tersebut.