Sekatan Perjalanan Rentas Daerah Masih Berkuatkuasa Di Sabah

Sekatan Perjalanan Rentas Daerah Masih Berkuatkuasa Di Sabah

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Kerajaan Negeri akan terus menguatkuasakan sekatan perjalanan rentas daerah dengan melihat peningkatan jumlah kes COVID-19 baharu yang membimbangkan dilaporkan setiap hari di Sabah sejak beberapa minggu ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, walaupun terdapat usaha pihak berkuasa seperti mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang terjejas namun jumlah kes terus meningkat.

“Oleh itu sekatan jalan raya (SJR) akan terus diperkuat kuasakan kerana aktiviti merentas daerah masih tidak dibenarkan…

“Rakyat mesti mematuhi SOP ini dengan ketat,” katanya selepas lawatan kerja ke daerah ini pada Khamis.

Pada ahad lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan kelonggaran beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Nasional Fasa Dua yang termasuk membenarkan perjalanan antara daerah bagi mereka yang telah diberi vaksin sepenuhnya.

SOP Pelan Pemulihan Nasional Sabah Fasa Dua telah dikemas kini pada 12 Ogos, bagaimanapun, sekatan perjalanan antara daerah masih berlaku kecuali untuk kes kecemasan, pekerjaan (disokong oleh surat majikan), temu janji vaksinasi COVID-19 dan mereka yang berada dalam sektor perkhidmatan penting (essential services).

SOP yang dikemas kini khas untuk Sabah tersebut juga menyatakan bahawa kebenaran daripada pihak polis diperlukan untuk pergerakan merentas daerah bagi kes kecemasan, pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa yang ingin melawat anak mereka yang berumur di bawah 18 tahun.

Dalam hal ini, Hajiji mengatakan antara langkah-langkah untuk memerangi COVID-19 adalah dengan memperoleh sebanyak mungkin vaksin untuk kegunaan penduduk Sabah selain memastikan SOP dipatuhi pada setiap masa.

“Kami (Kerajaan Negeri) mendesak masyarakat untuk tidak mengadakan majlis atau perkumpulan yang melibatkan ramai orang buat masa ini…

Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor…

“Kami mahukan rakyat lebih berdisiplin. Hanya dengan cara ini kita dapat meratakan lengkung,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Menurut Ketua Menteri, Sabah akan mendapat 200,000 dos tunggal vaksin CanSino seawal minggu depan atas jaminan dari Menteri yang bertanggungjawab untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, dimana Sabah akan mendapat keutamaan bekalan vaksin tersebut.

Ketibaan vaksin dos tunggal mampu membantu meningkatkan jumlah vaksinasi yang diperlukan untuk mencapai imuniti kelompok.

Sehingga kini, 1,227,628 atau 44.5 peratus penduduk Sabah berumur 18 tahun ke atas telah menerima dos vaksin pertama mereka.

Hajiji turut berkesempatan mengunjung Pusat Pentadbiran Vaksin (PPV) Dewan Tun Mustapha di mana beliau bertemu dengan petugas barisan hadapan (frontliners) dan memlihat proses vaksinasi dijalankan.