RON95 Tercemar: Caltex, Petron Sedia Bayaran Ihsan Kepada Pengguna Terjejas – Armizan

RON95 Tercemar: Caltex, Petron Sedia Bayaran Ihsan Kepada Pengguna Terjejas – Armizan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Syarikat minyak Caltex dan Petron telah merangka program bayaran ihsan kepada pengguna yang mengalami kerosakan kenderaan susulan aduan berkaitan dakwaan pencemaran petrol RON95 di beberapa negeri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bantuan itu akan diberikan kepada pengguna yang mengemukakan aduan lengkap berserta dokumen sokongan yang sah, berdasarkan kriteria ditetapkan.

“Caltex dan Petron telah merangka program pemulihan pelanggan melalui pembayaran secara ihsan tanpa sebarang pengakuan terhadap kesalahan atau liabiliti.

“Langkah ini dilaksanakan sementara siasatan berhubung dakwaan pencemaran bahan api berkenaan masih berlangsung,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berhubung keputusan analisis sampel RON95 serta tindakan kerajaan memulihkan keyakinan pengguna.

Armizan berkata, sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 262 sampel petrol RON95 diambil daripada lapan jenama stesen minyak di lapan negeri serta tiga depoh syarikat minyak untuk dianalisis Jabatan Kimia Malaysia.

Menurutnya, laporan awal bertarikh 29 Oktober membabitkan 43 sampel mendapati kandungan air dalam semua sampel kurang daripada 0.05 peratus, iaitu di bawah had pengesanan minimum yang boleh dilaporkan.

“Baki sampel masih dalam proses analisis dan laporan penuh akan dikeluarkan selepas semua ujian selesai dijalankan,” katanya.

Tambahnya, Caltex dan Petron turut menghantar sampel petrol dari stesen minyak yang terlibat dalam aduan ke makmal masing-masing, termasuk di luar negara, bagi mengenal pasti punca masalah.

Beliau menegaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneruskan siasatan menyeluruh terhadap rantaian bekalan bahan api berkenaan serta mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.