UMS Terima 4,469 Pelajar Baharu Daripada Dalam Negara Dan Luar Negara Tahun...

UMS Terima 4,469 Pelajar Baharu Daripada Dalam Negara Dan Luar Negara Tahun Ini

0
SHARE
Taufiq (duduk tengah) bersama Pengurusan Tertinggi Universiti Malaysia Sabah (UMS)...

KOTA KINABALU, SABAH – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima seramai 4,469 orang pelajar baharu tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 2,692 orang pelajar berasal dari Sabah, 1,695 dari Semenanjung dan Sarawak, dan 35 pelajar adalah pelajar antarabangsa dari Negara China, India, Brunei, Indonesia, Jepun, Korea dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Naib Canselor, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS turut menerima 10 orang pelajar orang kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, Taufiq memberitahu kebolehpasaran Graduan (GE) UMS telah meningkat dengan sangat signifikan.

“Bagi tahun 2014-2018, GE UMS hanya mencapai tidak lebih daripada 60 peratus, tetapi mulai tahun 2019 dan 2020, GE masing-masing telah melonjak ke angka 90 dan 92 peratus…

“Program yang telah dilaksanakan oleh Pusat Kerjaya dan Pembangunan Usahawan Pelajar bersama pihak KPT dan industri telah berjaya membantu ramai pelajar untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan latihan di luar,” katanya.

Beliau berucap pagi tadi pada Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2021/2022 yang diadakan secara dalam talian.

Naib Canselor, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin…

Katanya lagi, UMS akan terus membenarkan pelajar yang mengalami masalah capaian internet dan persekitaran yang kurang kondusif untuk masuk ke kampus bagi menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) menggunakan kemudahan yang disediakan di dalam UMS.

“Kita menyedari kekangan yang wujud dalam kalangan pelajar sepanjang tempoh PdP secara dalam talian…

“Sejak pandemik COVID-19 bermula, PdP lebih banyak dijalankan secara dalam talian, namun ia tetap tidak menjejaskan proses pembelajaran secara keseluruhannya.

“Inilah realiti yang harus sama-sama kita pikul agar usaha menyediakan para pelajar dengan ilmu pengetahuan dan nilai kemanusiaan dapat diteruskan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Taufik menyeru pelajar untuk memanfaatkan setiap ruang dan peluang yang telah disediakan untuk menjadi bekalan tambahan.

“Semoga dengan usaha ini UMS mampu menjana graduan yang lebih berkualiti, sekali gus meningkatkan Kebolehpasaran Graduan (GE) UMS,” beliau berkata.