KOTA KINABALU: “Kita kehilangan seseorang yang sangat baik,” demikian luahan penyanyi tersohor, Nor Zila Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Ella ketika ditemui selepas menziarahi keluarga balu Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, 66, di kediaman mereka, di sini, malam tadi.
Ella hadir pada kira-kira jam 10.30 malam bersama kakaknya, Jojie Aminuddin dan suami, Kapten Azhar Ghazali.

Mengimbau detik awal menerima khabar pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu, Ella berkata beliau pada mulanya sukar mempercayai berita tersebut kerana ketika itu suasana politik agak “havoc” berikutan perkembangan Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17.
“First day tu kita dah tahu awal pagi, tapi rasa macam tak real la cerita ni. Sebab masa tu tengah havoc kan politik punya pilihan raya dan sebagainya. Tapi once dah confirm, kita macam kehilangan sangat yang bernama Bung Moktar,” katanya.
Menurut Ella, beliau menyimpan kenangan manis bersama Allahyarham, termasuk layanan mesra ketika berkunjung ke rumah Bung Moktar dan isteri.

“Ada kenangan dengan arwah… dia pernah gorengkan kita goreng pisang. Kita datang rumah dia, jumpa Datin Seri, duduk santai makan sama-sama. Dia seorang yang sangat baik, peramah dan sangat ‘fatherly’,” katanya.
Ella turut berkongsi bahawa Allahyarham merupakan peminatnya sejak zaman universiti, sebagaimana diberitahu isteri arwah, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin sendiri.
“Datin Seri yang bocorkan rahsia, kata masa dia sekolah universiti dia tampal poster Ella,” katanya sambil tersenyum mengimbau kenangan itu.

Dalam kunjungannya, Ella menitipkan pesanan penuh empati kepada balu Allahyarham agar terus tabah menghadapi hari-hari mendatang.
“Sabar, be strong… mungkin hari mendatang akan lebih terasa kehilangan beliau. Saya cakap dengan Datin Seri, tenang dan sabar,” katanya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Gleneagles pada 1.46 pagi Jumaat lalu.
Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin sebelum ini memaklumkan Allahyarham mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru.






