ECoS Keluar Notis Larangan Jual Produk Elektrik, Gas Tanpa Label Keselamatan SIRIM

ECoS Keluar Notis Larangan Jual Produk Elektrik, Gas Tanpa Label Keselamatan SIRIM

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebanyak 10 premis sekitar Kota Kinabalu dikenakan notis larangan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah dan Labuan (ECoS) selepas didapati menjual kelengkapan elektrik pengguna dan perkakas gas dalam senarai produk terkawal tanpa Label Keselamatan SIRIM.

Dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan baru-baru ini, ECoS menegaskan bahawa hanya produk yang telah diuji dan diperakui selamat dengan Label Keselamatan SIRIM dibenarkan dipasarkan, selaras dengan kehendak Peraturan 107, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 serta Peraturan 117, Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 2023.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, pemeriksaan mendapati beberapa premis masih menjual produk tanpa label keselamatan tersebut.

“Premis terbabit telah diberikan notis larangan dan diarahkan menarik balik semua produk yang tidak mematuhi syarat dalam tempoh 14 hari. Kegagalan berbuat demikian boleh membawa kepada tindakan perundangan termasuk penyitaan barangan,” katanya.

Menurut beliau, pemilik premis yang tidak mematuhi arahan bagi kelengkapan elektrik pengguna boleh berdepan denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 134, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024.

Bagi kesalahan melibatkan penjualan perkakas gas tanpa Label Keselamatan SIRIM, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan, manakala kesalahan berterusan selepas sabitan boleh dikenakan denda tambahan harian selaras dengan Subseksyen 62(1) dan (2), Enakmen Bekalan Gas 2023.

Nasser turut menasihatkan pengguna agar hanya membeli produk elektrik dan perkakas gas yang mempunyai Label Keselamatan SIRIM kerana ia menjamin produk tersebut telah diuji oleh makmal bertauliah serta memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.

Langkah itu, katanya, penting bagi mengelakkan risiko litar pintas, renjatan elektrik, kebakaran, kecederaan atau kerosakan harta benda.

Senarai penuh produk elektrik dan gas terkawal boleh dirujuk melalui laman rasmi ECoS di ecos.gov.my.