TAWAU, SABAH – Pencapaian akademik khususnya untuk sekolah luar bandar dapat diperkasakan dengan pelaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh lebih banyak syarikat korporat, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan.
Pembantu Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Sabah memerlukan lebih banyak CSR berkaitan bidang pendidikan bagi membekalkan bantuan dan kepakaran untuk negeri.
“Sabah Lead Convention 2022 misalnya adalah sebuah program CSR yang membantu memperkasa pendidikan anak-anak di Sabah dan membina kemahiran serta membentuk kepimpinan mereka… nilai kepimpinan ini sangat penting…
“Negara memerlukan kemenjadian pelajar yang seimbang dan holistik, berminda keusahawanan, maju ke depan dan dapat membawa negara ke tahap tertinggi dengan mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai Harimau Asia,” memetik sumber Bernama ketika berucap merasmikan Sabah Lead Convention 2022 di sini pada Ahad.
Katanya, Lebih 300 pelajar serta guru dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Kota Kinabalu hadir pada majlis itu.
“Ketua Unit CSR Hap Seng Amidah Abidin berkata program sedemikian telah dilaksanakan sejak enam tahun lepas dan lebih 2,000 pelajar di seluruh Sabah menerima manfaat…
“Harapan kami supaya dapat membantu melahirkan pelajar yang serba boleh serta berkemahiran berfikir aras tinggi selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dan permintaan revolusi industri,” katanya.