ESSCOM Terus Giat Koordinasi Operasi Bersepadu Sandakan

ESSCOM Terus Giat Koordinasi Operasi Bersepadu Sandakan

0
SHARE
ESSCOM
Anggota ESSCOM sedang membuat pemeriksaan dokumen keatas orang awam di Sandakan ( Sumber Foto: Ihsan ESSCOM )

KOTA KINABALU, SABAH – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus giat mengkoordinasikan misi menguatkuasakan undang-undang di samping mengekang elemen jenayah rentas sempadan melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI), kali ini di Daerah Sandakan melalui Operasi Bersepadu (OB) bermula 25 Januari hingga 31 Januari 2023.

Operasi Bersepadu tersebut bertujuan untuk mengesan dan menangkap PATI dengan mensasarkan lokasi dikenal pasti sebagai penempatan PATI di sekitar Sandakan yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khasnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Komander ESSCOM DCP Datuk Hamzah Haji Ahmad berkata hasil pemeriksaan sepanjang tempoh tujuh hari operasi terhadap 410 jumlah rumah dan premis di 12 lokasi dengan melibatkan sejumlah 772 pemeriksaan fizikal terhadap orang.

“Susulan itu, seramai 26 PATI telah ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 sebelum diusir pulang ke negara asal.

“Jumlah nilai rampasan Operasi Bersepadu sebanyak RM16,951 dengan batang kayu disyaki jenis tangar bulat menyumbang kepada nilai rampasan tertinggi selain barangan terkawal yang lain.

“Selain itu, operasi memotong sambungan elektrik secara haram turut dijalankan sekitar lokasi tersebut,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Beliau berkata seramai 81 pegawai dan anggota menjayakan Operasi Bersepadu ini melibatkan Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia,
Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Majlis Perbandaran Sandakan dan Sabah Electricity Sdn. Bhd.

“ESSCOM menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat terutama para pegawai serta anggota keselamatan dan penguatkuasaan.

“Selaras dengan moto iaitu Bersama-sama Menjana Kesejahteraan, ESSCOM beriltizam akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam,” tambah beliau.