KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Sukan Negeri Sabah melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah menerima insentif kemenangan 2023 berjumlah RM573,000 daripada kerajaan negeri.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata insentif tersebut dibahagikan kepada dua pencapaian iaitu sukan able dan atlet-atlet kelainan upaya (PARA).
“Penyerahan insentif pada hari ini pada keseluruhannya akan melibatkan RM573,300 yang dipecahkan kepada dua pencapaian iaitu insentif kemenangan kebangsaan dan antarabangsa merangkumi RM422,850 untuk sukan able, dan insentif kemenangan untuk pencapaian atlet PARA sebanyak RM150,450.
“Pemberian insentif kemenangan ini agak besar tetapi sangat berbaloi untuk menarik minat dan penyertaan anak-anak muda sejajar usaha kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah bagi melahirkan atlet bertaraf dunia.
“Kerajaan berharap penyertaan anak-anak muda dalam sukan dapat membina kehidupan lebih berkualiti dan sihat selain membina sahsiah yang kukuh termasuk disiplin, semangat juang, kerjasama, keterampilan dan semangat patriotik kepada negara,” katanya semasa Majlis Penyerahan Geran Persatuan Sukan Negeri Sabah dan Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan 2023, pada Selasa.
Selain itu, Ellron turut menyerahkan geran tahunan berjumlah RM3,106,000 kepada persatuan-persatuan sukan negeri Sabah dalam usaha melaksanakan program-program pembangunan atlet secara efisien dan cemerlang.
“Selaku Menteri, saya terus berharap agar persatuan-persatuan dapat menggunakan bantuan kewangan ini untuk melaksanakan program pembangunan atlet secara efisien, bertanggungjawab dan tidak mensia-siakan jumlah peruntukan yang diberikan memandangkan wang ini merupakan duit rakyat yang amat berharga.
“Saya menyeru kepada semua persatuan untuk merancang, meneliti dan melaksanakan program masing-masing dengan sepenuh komitmen serta berintegriti agar perbelanjaan yang telah dibuat ini dapat dikembalikan kepada kementerian dalam bentuk laporan yang sahih dan data yang boleh digunakan untuk memajukan lagi mutu sukan di negeri ini.
“Data ini nanti kita akan jadikan garis matlamat atau sasaran ke atas atlet-atlet kita yang bertanding kerana penggunaan teknologi dan sains sukan menerusi taksiran data telah terbukti keberkesanan dan hasilnya, jangan sesekali kita ketinggalan dari arus moden ini yang menggunakan segala kepakaran saintifik untuk mencipta kebolehan atlet,” katanya.
Persatuan sukan yang mendapat geran tertinggi adalah Angkat Berat dan Memanah yang masing-masing mendapat RM125,000, Olahraga RM124,000, Akuatik RM123,000, Ragbi 122,000 dan Sepak Takraw sebanyak RM105,000 manakala Insentif tertinggi diberikan kepada atlet-atlet Pencak Silat berjumlah RM60,000 serta Olahraga dan Gusti Lengan masing-masing RM50,000.
Turut hadir, Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah selaku pengerusi penganjur, Mohd Asneh Mohd Noor. — JABATAN PENERANGAN SABAH