SPRM Tahan Lelaki Tanpa Dokumen Cuba Sogok Anggota Polis Sandakan

SPRM Tahan Lelaki Tanpa Dokumen Cuba Sogok Anggota Polis Sandakan

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah Cawangan Sandakan telah menahan seorang lelaki yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah kerana disyaki cuba menawarkan rasuah kepada anggota penguat kuasa yang sedang bertugas.

Sumber berkata, suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an telah ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan kira-kira jam enam petang semalam setelah diserahkan oleh pihak anggota penguat kuasa.

Menurut sumber, suspek itu dikatakan cuba menawarkan kira-kira RM100 kepada anggota penguat kuasa sebagai balasan untuk tidak dikenakan sebarang tindakan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan semasa ditahan oleh anggota penguat kuasa di pusat bandar Sandakan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy semasa dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan menawarkan rasuah kepada penjawat awam.

Datuk S. Karunanithy turut memuji tindakan anggota penguat kuasa yang telah menolak tawaran rasuah tersebut dan beliau menyeru agar lebih ramai penjawat awam terutamanya daripada agensi penguat kuasa untuk tampil melaporkan kesalahan rasuah kepada SPRM.