KKDW Memperuntukkan RM63.75 juta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Untuk Pekebun Kecil Getah 

KKDW Memperuntukkan RM63.75 juta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Untuk Pekebun Kecil Getah 

0
SHARE
Zahid
Zahid menyerahkan cek replika kepada salah seorang wakil penerima sumbangan dalam Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Benoni ( Sumber Foto: Ihsan KKDW )

PAPAR, SABAH – Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM63.75 juta untuk Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) untuk pekebun kecil getah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BKKK yang akan disalurkan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu akan dilaksanakan bermula 17 April ini.

Beliau berkata BKKA merupakan inisiatif tambahan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri melibatkan seramai 850,000 orang pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan sebelum ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan BKKA terbabit bakal memberi manfaat kepada seramai 318,642 orang pekebun kecil getah di seluruh negara di mana masing-masing menerima bantuan berjumlah RM 200 seorang.

“Bantuan ini dilaksakan bertujuan bagi meringankan bebanan kewangan dan memberi keceriaan kepada golongan pekebun kecil getah untuk memenuhi keperluan sempena sambutan Aidiliftiri yang bakal tiba.

“Secara umumnya, bakal penerima BKKA adalah dari kalangan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Tahun 2022.

“Bantuan ini akan dikreditkan terus ke akaun
bank penerima sepertimana yang telah didaftarkan dengan RISDA,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga berkata BKKA disasarkan kepada pekebun kecil getah yang mempunyai keluasan kebun di bawah 2.5 hektar.

Pemohon bantuan boleh menyemak status bayaran melalui laman sesawang rasmi bmt.risda.gov.my