Trend Terus Meningkat, Kadar Penularan Sabah Akan Lebih Tinggi Berbanding Negeri Lain

Trend Terus Meningkat, Kadar Penularan Sabah Akan Lebih Tinggi Berbanding Negeri Lain

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah kes baharu COVID-19 Sabah melepasi paras angka 2000 hari ini dengan 2069 kes iaitu 469 kes lebih tinggi daripada kelmarin sementara satu kluster jenis institut pendidikan turut diisytiharkan di Kota Marudu.

Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata tujuh daerah mencatatkan kes tiga angka hari ini iaitu Kota Kinabalu (395), Sandakan (267), Tuaran (192), Papar (161), Penampang (161), Lahad Datu (137) dan Tawau (113) kes.

Katanya hanya tiga daerah merekod penurunan kes manakala daerah Tongod kekal sifar.

“Jumlah kes jangkitan sporadik terus bertambah hari ini kepada 1,075 kes atau 52 peratus daripada jumlah kes keseluruhan…

“Kes-kes yang diperolehi melalui saringan bergejala yang tinggi ini satu petanda jelas betapa meluasnya virus COVID-19 telah merebak dalam komuniti,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai ‘Kluster Jalan Kebulian’ di SMK Kota Marudu 2, beliau berkata kes indeks merupakan seorang pelajar perempuan Tingkatan 5 berumur 18 tahun yang tinggal di asrama di sekolah berkenaan.

“Kes mula bergejala pada Rabu dan didapati positif sehari selepas itu. Saringan keatas kontak rapat mendapati tujuh orang lagi didapati positif menjadikan jumlah kes positif kumulatif sebanyak 16…

“Semua mereka yang positif telah dikuarantin dan diberikan rawatan lanjut,” katanya dalam rumusan kes harian.

Katanya kadar jangkitan kini bagi Sabah ialah 1.54 iaitu lebih tinggi daripada kadar kebangsaan yang hanya 1.32.

“Ini bermakna kadar penularan COVID-19 di Sabah lebih tinggi dan akan mengakibatkan kadar peningkatan jumlah kes yang lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain,” tegasnya.

Namun kebanyakkan kes masih berada dalam Kategori 1 dan 2 (tidak memerlukan rawatan). Terdapat lima (5) pesakit dalam Kategori 3, enam (6) dalam Kategori 4 dan dua (2) lagi dalam Kategori 5 hari ini.

Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (08 Feb 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):

Kota Kinabalu – 395 (371)
Sandakan – 267 (322)
Tuaran – 192 (150)
Papar – 161 (61)
Penampang – 161 (138)
Lahad Datu – 137 (57)
Tawau – 113 (99)
Ranau – 82 (32)
Beaufort – 74 (54)
Kota Belud – 63 (31)
Keningau – 60 (60)
Kuala Penyu – 59 (35)
Kota Marudu – 48 (29)
Sipitang – 39 (6)
Putatan – 39 (65)
Kudat – 30 (16)
Telupid – 29 (4)
Semporna – 24 (13)
Kunak – 24 (19)
Beluran – 23 (4)
Kinabatangan – 18 (12)
Tambunan – 13 (16)
Nabawan – 6 (0)
Tenom – 6 (1)
Pitas – 4 (3)
Kalabakan – 2 (2)
Tongod – 0 (0)