PUTATAN, SABAH – Projek pembinaan dan pemasangan Loji Rawatan Air Pakej baharu berkapasiti 5 Juta Liter Sehari (MLD) di Kasigui, yang dilaksanakan di bawah Skim Bekalan Air Segera (Urgent Water Supply Scheme – UWSS), kini telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 71 peratus setakat akhir April 2025.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, kerja-kerja utama melibatkan kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrikal kini telah disiapkan secara menyeluruh.
“Kemajuan projek dijangka meningkat kepada kira-kira 83 peratus menjelang Mei ini selepas pemasangan loji pakej disiapkan…
“Projek ini kekal mengikut jadual dengan sasaran untuk siap sepenuhnya serta mula menjalani proses pentauliahan dan percubaan operasi pada 22 Jun 2025.
“Beberapa langkah pemecutan telah pun dilaksanakan bagi memastikan projek ini dapat disiapkan tepat pada masanya demi keperluan mendesak bekalan air di kawasan Putatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, pembinaan loji ini adalah satu inisiatif penting bagi menangani isu kapasiti berlebihan di Loji Rawatan Air Kasigui sedia ada, yang kini beroperasi melebihi kapasiti reka bentuk asal sebanyak 50 MLD (juta liter sehari), dengan pengeluaran semasa dianggarkan sekitar 53 MLD.
“Keadaan operasi yang berlebihan ini menekankan keperluan mendesak untuk loji baharu bagi menambah ketahanan sistem dan memastikan bekalan air yang stabil kepada pengguna di kawasan Putatan,” katanya.
Shahelmey turut menjelaskan bahawa projek ini dibiayai sepenuhnya melalui inisiatif Pembiayaan Swasta (Private Funding Initiative – PFI) oleh Jetama Sdn. Bhd., yang juga telah memulakan kerja-kerja awal sebelum Surat Tawaran (LOA) rasmi dikeluarkan pada 24 Februari 2025. Pengambilan tapak telah diberikan kepada kontraktor pada 10 Mac 2025.
Bagaimanapun, projek ini turut menghadapi beberapa cabaran termasuk kelewatan akibat faktor luar jangka seperti cuaca buruk dan penangguhan kerja-kerja pemindahan tiang serta kabel pencahayaan oleh SESB.
“Keadaan hujan lebat yang kerap telah memberi kesan besar kepada kerja-kerja penambakan tanah, struktur dan kerja-kerja awam lain…
“Ia dianggarkan menyebabkan kelewatan selama 76 hari. Selain itu, penangguhan pemindahan tiang dan kabel SESB sehingga November 2024 turut menyebabkan gangguan kerja tanah dan akses ke tapak, menyumbang kepada 77 lagi hari kelewatan,” katanya lagi.
Beliau menambah bahawa isu-isu lain seperti gangguan oleh penduduk setinggan, kelulusan laluan utiliti (wayleave), penemuan tapak pelupusan bawah tanah dan masalah sempadan dengan kediaman bersebelahan telah diselesaikan, namun turut menyumbang kepada kelewatan tambahan antara tujuh hingga 84 hari.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran ini, pihak kontraktor dan Jetama telah menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan langkah mitigasi dan pemecutan kerja bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual.
“Kementerian akan terus memantau rapat pelaksanaan projek ini kerana ia merupakan projek berimpak tinggi untuk rakyat,” katanya.