LONDON – Bekas juara tennis dunia, Boris Becker telah dipenjarakan selama dua tahun dan enam bulan kerana menyembunyikan aset bernilai berjuta ringgit selepas mengisytiharkan diri sebagai muflis pada Jun 2017.
Hakim Deborah Taylor mengambil kira apa yang telah digambarkan kebankrapan Boris sebagai “kejatuhan dari rahmat” yang menyebabkan beliau kehilangan kerjaya dan reputasi serta semua harta benda.
“Tetapi anda tidak menunjukkan penyesalan mahupun penerimaan terhadap kesalahan yang anda lakukan malah berusaha untuk menjauhkan diri daripadanya (kesalahan)…
“Kamu telah dianggap hina sebagai sebahagian daripada prosiding dan tidak menunjukkan kerendahan hati,” The Guardian memetik Deborah sebagai berkata.
Boris dihukum di bawah Akta Insolvensi dan akan menjalani separuh tempoh penjara penuh.
Dia didapati bersalah atas empat pertuduhan oleh juri di mahkamah mahkota Southwark bulan ini tetapi dibebaskan daripada 20 pertuduhan lagi berkaitan kebankrapannya pada 2017. Boris telah menghadapi hukuman penjara maksimum tujuh tahun.
Beliau dijatuhkan hukuman percubaan selama dua tahun kerana mengelak cukai dan cuba mengelak cukai bernilai €1.7 juta (kira-kira RM7.8 juta) di Jerman pada 2002. Merujuk kepada sabitan itu, hakim sama berkata Boris tidak mengendahkan amaran yang diberikan dan peluang yang diberikan denga hukuman percubaan itu adalah faktor yang memburukkan keadaan.
Sumber sama melaporkan Boris, memakai tali leher berjalur warna ungu dan hijau iaitu warna rasmi kejuaraan Wimbledon, berjalan ke mahkamah berpegangan tangan dengan teman wanitanya, Lilian de Carvalho Monteiro. Anak lelakinya, Noah, turut hadir sambil membawa beg jenama Puma yang besar.
Juara ‘grand slam’ enam kali itu menafikan semua pertuduhan, mengatakan dia telah bekerjasama dengan pemegang amanah yang ditugaskan untuk memastikan asetnya malah menawarkan cincin perkahwinannya dan telah bertindak atas nasihat pakar.
Tetapi pada perbicaraan hukuman pada hari Jumaat, pendakwa raya, Rebecca Chalkley, berkata Becker telah bertindak “sengaja dan tidak jujur” dan bahawa dia “masih cuba menyalahkan orang lain”.
Peguam pembela, Jonathan Laidlaw, berhujah untuk kelonggaran, mengatakan anak guamnya tidak membelanjakan wang untuk “gaya hidup mewah” tetapi lebih kepada nafkah anak, sewa dan perbelanjaan undang-undang dan perniagaan.
Katanya kepada mahkamah, Boris telah mengalami “penghinaan awam” dan tidak mempunyai potensi pendapatan lagi pada masa depan.
Kebankrapan Becker berpunca daripada pinjaman €4.6 juta (RM21 juta) daripada sebuah bank swasta pada 2013, serta kira-kira $1.6 juta (RM7 juta) yang dipinjam daripada seorang ahli perniagaan Britain pada tahun selepas itu, menurut keterangan perbicaraan.
Semasa perbicaraan Becker, berkata pendapatan kerjayanya sebanyak £40 juta (RM219 juta) telah ditelan bayaran untuk “perceraian yang mahal” dan hutang apabila dia kehilangan sebahagian besar pendapatannya selepas bersara.
Tetapi hakim mengambil kira sejauh mana Becker pergi untuk mengelak daripada membayar hutangnya, termasuk gagal mengisytiharkan bahagiannya dalam hartanah RM5.4 juta di bandar asalnya di Leimen, Jerman, menyembunyikan pinjaman bank €825,000 (RM3.7 juta), bernilai £1.1 juta (RM6 juta) dengan faedah, dan menyembunyikan 75,000 saham dalam perniagaan teknologi bernilai £66,000 (RM 361 ribu).
Matthew Carter, seorang rakan kongsi di Pusat Kebankrapan Negara di firma audit, cukai dan penasihat antarabangsa Mazars, berkata keputusan makhmah pada Jumaat itu menegaskan akibat serius bagi mereka yang gagal mematuhi kewajipan undang-undang mereka sebagai bankrap di bawah Akta Insolvensi.
“Encik Boris gagal mengisytiharkan aset penting dalam kebankrapannya dan hukuman ini menjadi amaran keras kepada mereka yang cuba menyembunyikan aset mereka…
“Tiada pemenang dalam kes ini, dan adalah mustahak bagi sesiapa yang menghadapi masalah kewangan mendapatkan nasihat insolvensi pakar seawal mungkin untuk mengelakkan isu meningkat sehingga ke tahap ini,” katanya.
Ketua eksekutif Perkhidmatan Insolvensi, Dean Beale, berkata hukuman Boris Becker jelas menunjukkan bahawa menyembunyikan aset dalam kebankrapan adalah kesalahan serius yang mana “kami akan mendakwa dan membawa pesalah ke muka pengadilan”.





