Gaji Minimum RM1,500 Hadiah Sempena Hari Pekerja – PM

Gaji Minimum RM1,500 Hadiah Sempena Hari Pekerja – PM

0
SHARE

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa hari ini, 1 Mei 2022 sebagai hadiah kepada golongan pekerja atas dedikasi dalam membangun ekonomi negara.

Dalam ucapan sempena Hari Pekerja 2022, beliau menyatakan keyakinan kerajaan terhadap pekerja Keluarga Malaysia akan kekal berdaya tahan dan terus menjadi rakan strategik dalam membangunkan ekonomi negara.

“Gaji minimum RM1,500 yang berkuatkuasa 1 Mei ini merupakan hadiah kepada golongan pekerja atas dedikasi yang tanpa jemu dalam membangunkan ekonomi negara,” katanya dalam ucapannya.

Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, keputusan melaksanakan gaji minimum RM1,500 itu diambil kerana kerajaan sebelum ini telah memberikan bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan Covid-19 seperti Program Subsidi Upah yang berupaya mengekalkan perniagaan dan pekerjaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju meletakkan sasaran sekurang-kurangnya sejuta ahli Keluarga Malaysia yang bekerja sendiri mendapat perlindungan insurans di bawah PERKESO menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Di bawah program ini, kerajaan akan menanggung sebanyak 80 peratus daripada jumlah yang perlu dicarum oleh individu terbabit.

“Kerajaan juga bersetuju mewajibkan penyediaan Taska Tempat Kerja di setiap sektor awam kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan Badan Berkanun sebelum ia diperluaskan ke sektor swasta…

“Kerajaan menyediakan geran tahunan RM10 juta pada tahun 2019 dan RM30 juta sejak tahun 2020 bagi inisiatif ini yang akan memberi kelegaan kepada pekerja yang mempunyai anak kecil,” katanya.

Kerajaan juga bersetuju melaksanakannProgram Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia, MyEzyCover.com mulai 1 Mei. Ia adalah pakej pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan tanpa sebarang caj faedah, ditawarkan kepada penjawat awam sebelum diperluaskan kepada sektor swasta.

Ujarnya, program ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama PERKESO dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).