Lima Cedera Dalam Kemalangan Antara Proton Saga-Ford Ranger 

Lima Cedera Dalam Kemalangan Antara Proton Saga-Ford Ranger 

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Lima mangsa cedera dalam pertembungan antara kenderaan Proton Saga dan Ford Ranger berhampiran jalan SMK Sikuati 2 sini pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah melaporkan tiga orang mangsa dalam Proton Saga terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan.

“Ketiga-tiga mereka tersepit dan berjaya dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan berhubung insiden kira-kira 8.20 pagi itu.

Di tempat kejadian, Ford Ranger terbabit terundur ke dalam parit pada sebelah kiri jalan manakala Proton Saga remuk pada bahagian hadapan.

Tambah PGO, mangsa telah diberi rawatan oleh Pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke Hospital menggunakan Jentera EMRS.

“Dua lagi orang mangsa lelaki di dalam kenderaan Ford Ranger hanya mengalami cedera ringan,” katanya sambil berkata operasi ditamatkan pada jam 10.24 pagi.

Dalam kes berasingan pada daerah yang sama, sebuah stor penyimpanan barang dan kenderaan pacuan empat roda di Taman Paka, Jalan Mat Salleh sini habis terbakar.

“Struktur kekal berkeluasan 25×20 kaki itu terbakar 80 peratus dan sebuah kenderaan Isuzu Dmax terbakar 100 peratus,” menurut laporan sumber yang sama.

Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran dengan sumber air dari tangki jentera.

“Tiada kecederaan dan kematian dilaporkan terlibat. Operasi terkawal pada jam 10.47 pagi dan ditamatkan pada jam 11.33,” katanya.