KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatatkan angka jangkitan baharu 14 kes hari ini iaitu jumlah terendah sejak virus COVID-19 pertama kali dikesan di Sabah pada 12 Mac 2020.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu juga merupakan penurunan 34 kes berbanding jumlah kelmarin.
“Hanya lima (5) daripada 27 daerah di Sabah merekodkan jangkitan baharu, iaitu Kota Kinabalu 6 kes (-6), Sandakan 4 kes (-2), Papar 2 (+2), dan masing-masing satu kes di Beluran dan Kunak…
“Tidak ada kes baharu dikesan di 22 daerah lain dalam tempoh 24 jam yang lalu,” jelasnya dalam rumusan kes harian.
Dalam pada itu, terdapat hanya satu kes dalam Kategori 3 hari ini dan tidak ada kes baharu dalam Kategori 4 dan Kategori 5.
“Hari ini kita menyambut Hari Buruh. Kerajaan Negeri ingin merakamkan penghargaan kepada semua pekerja khususnya pekerja barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi virus sehingga kita berjaya mencapai hasil yang baik pada hari ini…
“Tahap pematuhan yang tinggi kepada semua prosedur operasi standard (SOP) dikalangan rakyat jelata juga merupakan faktor penting yang menyumbang kejayaan kita membendung penularan virus COVID-19 setakat ini,” kata Masidi.
Namun, tambah beliau, perang melawan COVID-19 belum selesai. Tanggungjawab tersebut kini dipikul oleh orang ramai melalui sikap dan gaya hidup kita yang perlu menitikberatkan keselamatan kesihatan diri dan keluarga.
“Mulai hari ini pelbagai kelonggaran SOP berkuatkuasa diseluruh negara sesuai dengan tempoh peralihan negara kita kepada fasa endemik…
“Adalah diharapkan semua lapisan masyarakat akan terus mengamalkan sikap yang bertanggungjawab bagi memastikan angka jangkitan di Sabah kekal rendah.
“Perayaan Kaamatan dilancarkan di Keningau hari ini dan kita juga akan menyambut perayaan Aidil Fitri dalam sehari dua lagi.
“Alangkah baiknya sekiranya sambutan kita kepada kedua perayaan ini tidak sedikit pun menjejaskan momentum kita memenangi perang melawan COVID-19. Semua bergantung kepada sikap kita sendiri semasa menyambut kedua perayaan ini,” ujar beliau.
Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (30 April 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):
Kota Kinabalu 6 (12)
Sandakan 4 (6)
Papar 2 (0)
Beluran 1 (1)
Kunak 1 (1)
Beaufort 0 (0)
Kalabakan 0 (0)
Keningau 0 (1)
Kinabatangan 0 (0)
Kota Belud 0 (1)
Kota Marudu 0 (0)
Kuala Penyu 0 (1)
Kudat 0 (0)
Lahad Datu 0 (2)
Nabawan 0 (0)
Penampang 0 (8)
Pitas 0 (0)
Putatan 0 (4)
Ranau 0 (0)
Semporna 0 (2)
Sipitang 0 (1)
Tambunan 0 (0)
Tawau 0 (4)
Telupid 0 (0)
Tenom 0 (2)
Tongod 0 (0)
Tuaran 0 (2)