KOTA KINABALU, SABAH – Sebagai isu tambahan untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk Sabah, Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey meminta kerajaan persekutuan untuk meneliti dan membenarkan penanaman rami industri dan ganja di Sabah.
“Ini untuk penggunaan industri pembinaan, tekstil dan perubatan, yang sudah sah di sisi undang-undang di banyak negara di seluruh dunia…
“Penanaman dan penghasilan kedua tanaman bernilai tinggi ini dapat membantu meningkatkan pertanian dan perindustrian di Sabah,” katanya dalam sebuah kenyataan, malam tadi.
Pertanian dan perindustrian adalah dua daripada tiga teras utama Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021-2025).
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berharap kerajaan persekutuan mengambil langkah yang diperlukan untuk membenarkan penanaman dan pengeluaran kedua tanaman tersebut.

Memetik sumber Pusat Pemasaran Pertanian Amerika Syarikat, rami bukan hanya 10 kali ganda lebih kuat daripada serat kayu, tetapi juga empat kali lebih kuat daripada kapas.
Rami juga merupakan industri lebih ringan dan lebih murah diproses daripada kayu.
Satu (1) hektar rami yang ditanam selama 40 tahun mengandungi 400% lebih banyak serat yang dapat digunakan daripada satu hektar pokok selama 40 tahun kitaran hidupnya.
Industri itu di negara Amerika Syarikat bernilai RM 255 billion pada tahun 2020.
Pada tahun yang sama, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama membenarkan penggunaan kandungan CBD dalam ganja bagi tujuan perubatan selepas membenarkan penggunaannya untuk tujuan penyelidikan pada tahun 2017.
Bagi rekod, kandungan CBD dikenali untuk meningkatkan selera makan dan bertindak melalui pelbagai reseptor cannabinoid dalam badan manusia.
Institut Kanser Negara (Amerika Syarikat) telah menjalankan beberapa kajian ke atas tikus dengan penunjukkan hasil positif bahawa kandungan CBD (Canbabidiol) dalam ganja mempunyai kesan perlindungan terhadap pertumbuhan beberapa jenis tumor.