Thonny Chee Dengari Rakyat, Janji Perbaiki Kemudahan Pasar KK

Thonny Chee Dengari Rakyat, Janji Perbaiki Kemudahan Pasar KK

0
SHARE

KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan bagi kawasan Api Api, Thonny Chee, melakukan lawatan mesra di Pasar Pusat KK pada Isnin, bagi berinteraksi terus dengan peniaga dan pengunjung serta mendengar keluhan mereka.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk kekurangan tempat letak kereta, dengan sesetengah peniaga menerima saman kerana kelewatan sedikit, serta longkang tersumbat ketika musim hujan. 

“Ada yang kata ini tanggungjawab DBKK, tetapi sebagai wakil rakyat, kita mesti dengar suara rakyat,” katanya.

Beliau menambah, tempat letak kereta yang mencukupi adalah penting supaya pengunjung tidak terbeban dan perniagaan dapat berjalan lancar.

Beliau turut menekankan masalah caj tandas, dengan seorang peniaga memberitahu perlu membayar 50 sen setiap kali masuk.

“Kalau tiga kali sehari, sudah RM1.50. Untung seorang penjahit seluar di sini cuma RM2 sahaja. Warga emas dan peniaga kecil patut mendapat akses percuma.

“Ini antara perkara kecil, tetapi memberi impak besar kepada kehidupan harian rakyat,” tambahnya.

Thonny menekankan bahawa pertemuan fizikal penting selain kempen di media sosial, supaya generasi lebih tua dan komuniti tempatan dapat menyuarakan keperluan mereka secara langsung.

“Saya ingin pastikan kami dengar, faham dan bertindak. Setiap suara rakyat adalah penting dalam membentuk masa depan bandar ini,” ujarnya.

Beliau turut menggalakkan pengundi supaya menunaikan hak mereka dengan yakin, kerana masa depan 1.7 juta pengundi Sabah bergantung pada pilihan tepat dan wakil yang aktif.