KUALA LUMPUR – Pemandu bas yang membawa pemain bola sepak wanita pasukan Myanmar pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) ditahan selepas mencuri jam tangan milik pegawai bola sepak wanita Malaysia di Shah Alam, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima laporan pada 10 malam mengenai kehilangan jam tangan jenama Swatch Edisi Rio 2016 milik pegawai berkenaan.
Katanya, wanita itu tertinggal jam tangan miliknya di dalam bas yang membawa pemain wanita Malaysia ke Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam semalam.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati pemandu bas lelaki berusia 27 tahun yang membawa bas pemain Pasukan Myanmar menaiki bas berkenaan dan mengambil jam tangan terbabit.
“Siasatan lanjut menemui semula jam tangan berkenaan di dalam bas yang dipandu suspek.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu,” katanya kepada Harian Metro.
Shafien berkata, suspek direman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.