KUALA LUMPUR – Umpama ‘Bandar Hantu’. Itu keadaan terkini di Bandar Marawi, Selatan Filipina selepas pertempuran sejak bulan lalu antara tentera kerajaan dan kumpulan militan Abu Sayyaf (ASG).
Memetik laporan Harian Metro, kesan runtuhan bangunan, tembakan di dinding dan keadaan sunyi menyelubungi bandar berkenaan dan semua penduduk di kawasan itu diarahkan berpindah berikutan usaha kerajaan Filipina untuk membersihkan lokasi pengganas.
Sumber pemimpin kanan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) memaklumkan kepada Harian Metro, hampir semua kawasan di bandar itu terjejas teruk akibat pertempuran sejak sebulan lalu.
“Ia umpama bandar hantu, tiada penduduk, hanya kesan runtuhan bangunan, kesan tembakan di dinding. Bandar ini boleh dikatakan lumpuh sepenuhnya.
“Sebaik keadaan tenang di beberapa kawasan, beberapa penduduk kampung ada melakukan rondaan dan mendapati hampir semua bangunan mengalami kerosakan teruk,” katanya, di sini, semalam.
Sumber itu menjelaskan biarpun pertempuran antara tentera kerajaan dan ASG mulai berkurangan, terdapat lima peratus kawasan masih dikuasai pengganas.
Menurutnya, talian telekomunikasi di Bandar Marawi lumpuh sepenuhnya dan penduduk memaklumkan bandar itu tidak mempunyai elektrik akibat daripada kesan pertempuran.
“Berdasarkan seluruh bandar ini, hanya tinggal lima peratus saja yang dikuasai kumpulan pengganas Maute.
“Kebanyakan kawasan sudah dikuasai tentera kerajaan (Filipina). Pihak berkuasa sudah membenarkan untuk penduduk balik ke rumah masing-masing.
“Bagaimanapun, mereka memutuskan untuk terus berada di luar Marawi memandangkan rumah mereka hancur akibat pertempuran,” katanya.