JOHOR BAHRU – Kegiatan satu sindiket antarabangsa yang menjadikan sebuah rumah di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Kong Kong Laut, Masai di sini sebagai makmal memproses dadah bernilai RM32.4 juta akhirnya terbongkar selepas diserbu polis Selasa lalu.
Menurut laporan Kosmo Online, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh dipetik berkata, rumah tersebut terletak di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Kong Kong Laut yang terletak jauh dari kediaman penduduk.
Jarak makmal dadah tersebut kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Johor Bahru.
Katanya, sebelum polis membongkar kegiatan haram makmal dadah itu, pihaknya terlebih dahulu menyerbu lima buah lokasi berkaitan di sekitar Johor.
“Kegiatan sindiket ini dibongkar setelah serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah yang dijadikan stor menyimpan dadah di Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini pada pukul 1.30 pagi.
“Dua lelaki tempatan diberkas di rumah terbabit dan selepas itu, polis melakukan lima lagi serbuan di sekitar Masai dan Bandar Baru Permas di sini.
“Dalam serbuan tersebut polis menahan enam lagi individu termasuk seorang lelaki warga negara Singapura dan wanita Vietnam berusia antara 27 hingga 58 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri Johor di sini semalam.