KOTA KINABALU: Polis membuka kertas siasatan berhubung satu pergaduhan melibatkan pekerja syarikat pelancongan di Jesselton Point yang dipercayai berpunca daripada perebutan pelanggan baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi Ahad itu berlaku di hadapan sebuah kiosk pelancongan melibatkan pekerja daripada dua syarikat berbeza.
“Pergaduhan tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan berhubung pelanggan dan telah menyebabkan tindakan membaling kerusi sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda pihak lain di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata satu laporan polis telah dibuat oleh pengusaha kiosk yang terjejas bagi tujuan keselamatan serta mengelakkan salah faham dalam kalangan orang awam.
Setakat ini, tiada laporan dibuat oleh individu yang terlibat dalam pergaduhan berkenaan, namun rakaman video kejadian telah tular di Facebook.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan usaha mengesan serta mengenal pasti individu terlibat sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta sentiasa mematuhi undang-undang.






