KOTA KINABALU, SABAH – Sabah memulakan tahun baharu 2023 dengan menyambung semula penerbangan pertamanya dari Hong Kong.
Penerbangan dengan penumpang seramai 138 orang itu disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada hari ini.
Dimulakan semula oleh AirAsia, laluan HKG-BKI akan beroperasi dua kali seminggu pada setiap hari Rabu dan Ahad, dengan kapasiti 186 setiap penerbangan serta jumlah kapasiti 372 tempat duduk seminggu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman berkata pihaknya berasa gembira beliau kerana AirAsia telah mengaktifkan semula laluan Hong Kong – Kota Kinabalu dengan menambah satu lagi sambungan penerbangan antarabangsa ke Sabah.
“Hong Kong merupakan salah satu pasaran sasaran utama kami, dan ini merupakan permulaan yang baik pada 2023 untuk industri pelancongan Sabah.
“Sabah mempunyai banyak pulau dan pantai yang indah, menjadikan ia destinasi pilihan untuk pengembara Hong Kong,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

AirAsia kini menghubungkan Kota Kinabalu ke lima (5) bandar antarabangsa utama iaitu Singapura, Manila, Bangkok, Taipei dan Hong Kong.
Dengan penyambungan semula laluan Hong Kong – Kota Kinabalu, Sabah kini menerima 64 penerbangan terus antarabangsa secara mingguan.
Penerbangan terus lain antaranya dari Korea Selatan (29); Singapura (14); Filipina (6); Brunei (5); Taiwan (4); Jepun (2) dan Thailand (2).
Dalam pada itu, Noredah turut berkata Sabah akan terus menambah baik akses ke negeri itu dengan menambah bilangan penerbangan antarabangsa dari bandar-bandar utama negara asing.





