
LABUAN – 1000 tangki air yang diusahakan UMNO bahagian Labuan mampu meringankan beban rakyat yang berhadapan dengan krisis air bersih.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan permohonan 1,000 tangki dengan kapasiti 400 gelen itu telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya sebelum ini telahpun bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Ahmad Zahid Hamidi untuk menjelaskan permasalahan rakyat Labuan berkaitan masalah air yang sangat kritikal dan perkara ini telah pun diangkat ke pengetahuan Perdana Menteri.
“Alhamdulilah, demi meringankan beban rakyat yang terjejas teruk dengan bekalan air, Kerajaan Madani telah bersetuju meluluskan pembelian bantuan jangka pendek 1000 unit tangki yang akan diagihkan dalam waktu terdekat,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui media pada majlis simbolik penyerahan tangki tersebut di Kampung Pohon Batu dan kampung Lubok Temiang, Ahad lepas.
Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pihaknya akan memastikan bantuan jangka pendek itu akan diagihkan kepada penduduk di kawasan yang kritikal dengan masalah krisis air sejak beberapa bulan lalu.
“Saya merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terutama sekali kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibarahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang prihatin dengan permasalahan kritikal yang dihadapi oleh rakyat Labuan,” tambahnya.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Bashir Alias, Ketua Wanita UMNO Bahagian, Niswati Tarji dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Saiful Pungot.