Tun Mahathir Dimasukkan ke IJN Untuk Pemerhatian

Tun Mahathir Dimasukkan ke IJN Untuk Pemerhatian

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam bagi menjalani pemerhatian susulan dua hari yang disifatkan sangat menekan selepas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Memetik laporan Bernama, anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, keadaan bapanya ketika ini baik dan tidak membimbangkan.

“Beliau dimasukkan ke IJN untuk pemerhatian. Dua hari lepas sangat menekan Tun M. Buat masa ini, beliau okey dan tidak dalam keadaan yang merisaukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Laporan lain yang memetik perkembangan sama turut menyatakan Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemantauan.

Dr Siti Hasmah, meninggal dunia pada usia 100 tahun di IJN pada jam 9.20 pagi 28 September lalu dan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari sama menerusi Istiadat Pengebumian Negara.

Seorang lagi anak pasangan itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini berkata, Dr Mahathir berada di IJN untuk menemani isterinya sepanjang menerima rawatan sebelum pemergian Dr Siti Hasmah.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan tahun ini genap 70 tahun usia perkahwinan mereka. Pasangan itu dikurniakan tujuh anak.