Seorang Maut, 11 Cedera Parah Dalam Kemalangan Van Foton View dan Ambulans...

Seorang Maut, 11 Cedera Parah Dalam Kemalangan Van Foton View dan Ambulans di Kinabatangan

0
SHARE

KINABATANGAN: Seorang maut manakala 11 lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah van jenis Foton View bertembung dengan sebuah van ambulans di Jalan Paris 2, Kinabatangan pagi tadi.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 10.25 pagi sebelum sebuah jentera FRT dengan kekuatan lima anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 30 kilometer. Pasukan tiba pada jam 11.00 pagi.

Komander Operasi, Mohd Nor Azmer Mat Shor Nasir berkata, seramai 12 mangsa terlibat dalam nahas itu – empat mangsa daripada van ambulans dan lapan lagi daripada van Foton View.

“Seorang mangsa yang berada dalam van ambulans disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala 11 mangsa lain mengalami kecederaan parah,” katanya.

Operasi menyelamat dijalankan oleh BBP Kinabatangan dengan kerjasama pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seramai 12 anggota dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 4 anggota.

Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.

Setelah keadaan di lokasi disahkan selamat dan tiada risiko susulan, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.50 pagi.