KOTA KINABALU: Tragedi tanah runtuh yang menimpa sebuah rumah di Kampung Cendera Kasih, Kolombong, mengorbankan tujuh mangsa termasuk kanak-kanak dalam kejadian pagi Isnin.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 10.02 pagi.
Pasukan pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas tiba di lokasi pada jam 10.24 pagi, kira-kira tiga kilometer dari balai.
“Seramai 11 mangsa terlibat. Tujuh disahkan meninggal dunia, seorang cedera di bahagian paha manakala tiga lagi terselamat tanpa kecederaan.
“Mayat mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dirawat pasukan perubatan,” katanya.
Antara yang maut termasuk empat kanak-kanak berusia antara dua hingga sembilan tahun serta tiga dewasa masing-masing berusia 24, 40 dan 50 tahun.
Operasi ditamatkan pada jam 3.46 petang selepas pasukan penyelamat memastikan kawasan runtuhan selamat.
Seramai 24 anggota bomba terlibat dalam operasi itu melibatkan BBP Lintas, bantuan dari BBP Tuaran, Unit K9 dan Unit Storm, dengan kerjasama 12 anggota polis, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta tujuh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).






