Banjir dan Tanah Runtuh Landa Sabah: 863 Mangsa Dipindahkan ke 11 PPS

Banjir dan Tanah Runtuh Landa Sabah: 863 Mangsa Dipindahkan ke 11 PPS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Hujan berterusan sejak 8 September lalu telah menyebabkan beberapa daerah di Sabah dilanda bencana banjir dan tanah runtuh, sekali gus memaksa ratusan penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah setakat ini, lapan daerah dikenal pasti terkesan, dengan enam daripadanya mengaktifkan PPS bagi menempatkan mangsa.

“Sebanyak 11 PPS kini beroperasi, melibatkan 220 keluarga dengan jumlah keseluruhan 863 mangsa.

“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut turun padang meninjau lokasi bencana, termasuk kawasan tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephens berhadapan bangunan Jesselton Quay, Kampung Sarapung di Penampang serta dua PPS di Putatan iaitu PPR Sri Keramat dan PPS Sri Serigai,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, terdapat empat lokasi tanah runtuh yang telah meragut nyawa, iaitu di Sarapung (Penampang), Marahang (Papar), Kampung Mook (Papar) dan Cenderakasih (Kota Kinabalu).

Usaha menyelamat mangsa yang masih terperangkap giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi penyelamat.

Selain itu, kejadian tanah runtuh di beberapa laluan utama jalan raya sedang diberi perhatian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan segera, termasuk pemasangan jambatan sementara (Bailey Bridge) bagi memastikan akses jalan dapat dipulihkan.

Kerajaan Negeri turut menerima sokongan Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menyalurkan bantuan kewangan serta logistik tambahan bagi mempercepatkan operasi.

Bagi meringankan beban mangsa, Kerajaan Negeri akan menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke PPS, manakala waris mangsa yang terkorban akan menerima BWI Kematian sebanyak RM10,000.

Selain itu, bakul makanan turut diagihkan kepada semua penduduk yang terjejas.

JPBN Sabah menegaskan bahawa semua agensi terlibat kini berusaha sepenuhnya memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa bencana terjamin, di samping meneruskan pemantauan rapi di seluruh kawasan berisiko.