PUTATAN, SABAH – Silat bukan sahaja seni untuk mempertahankan diri justeru digunakan bagi meningkatkan jati diri khususnya golongan muda.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata golongan tersebut perlu didedahkan lagi dengan aktiviti silat secara lebih meluas agar warisan budaya terus terpelihara.
Mengenai pemilihan Putatan menjadi tuan rumah bagi dua acara Sukan Sabah Ke-10 (SAGA X) 2023, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Putatan berharap lebih banyak acara dapat dilaksanakan di daerah tersebut terutama apabila Mini Stadium Putatan siap pada tahun 2025 kelak.
“Kali ini, daerah Putatan dipilih menjadi tuan rumah bagi dua acara sukan iaitu pencak silat dan badminton.
“Saya berharap dengan adanya prasarana sukan yang lebih lengkap maka kita akan dapat mengetengahkan lebih banyak bakat-bakat baharu sekali gus melahirkan lebih ramai atlet di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan Pembukaan Sukan Pencak Silat di Dewan Sri Putatan dekat sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, sukan silat hari ini mempamerkan aksi pesilat daripada 22 daerah yang bertanding dalam tiga kategori Kelas A (45kg – 50kg) , B (50kg – 55kg) dan C (55kg – 60kg) bermula jam 8 pagi.
Bagi silat seni pula, 18 pasukan berentap dalam tiga kategori solo kreatif, tunggal dan ganda masing-masing dengan sembilan, tujuh dan tiga perlawanan yang diadakan pada sebelah petang. — JABATAN PENERANGAN SABAH






