KOTA KINABALU, SABAH – Selepas dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah di Padang Universiti Malaysia Sabah malam tadi, beberapa acara telah mula dipertandingkan dalam Sukan Sabah Edisi Ke-10 (SAGA X).
Bagi acara bola jaring, lapan pasukan dijadual berentap dalam peringkat kumpulan yang berlangsung di Dewan Rafflesia, Institut Latihan Perindustrian (ILP) mulai jam lapan pagi.
Pasukan bertanding dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A (pasukan Keningau, Sipitang, Kota Kinabalu dan Papar) dan Kumpulan B (Lahad Datu, Tongod, Kota Belud dan Ranau).
Perlawanan akhir akan berlangsung di Dewan Rafflesia ILP pada Khamis ini, sementara perlawanan penentuan bagi pingat gangsa dan perak akan diadakan Rabu depan.
Turut membuka tirai acara ialah acara Petanque yang menawarkan 11 pingat emas yang berlangsung di Gelanggang Petanque Politeknik Kota Kinabalu.
Seramai 23 atlet lelaki dan 23 atlet wanita mengambil bahagian dalam acara perseorangan dan 23 daerah bagi kategori berpasukan lelaki dan wanita.
Sementara itu, 14 pasukan bertanding dalam acara bola keranjang yang turut bermula hari ini di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.
Daripada 14 pasukan berkenaan, lapan pasukan terdiri daripada kategori lelaki dan enam pasukan bersaing dalam kategori wanita.
Peringkat akhir bagi acara ini dijadual akan diadakan pada Khamis depan.
Bagi acara tenis pula, 13 daerah bersaing dalam empat kategori iaitu acara berpasukan (lelaki dan wanita) dan individu (lelaki dan wanita).
Pertandingan akhir bagi acara berpasukan tenis (lelaki dan wanita) akan diadakan pada Selasa, manakala individu (lelaki dan wanita) pada Khamis depan. — JABATAN PENERANGAN SABAH