Sabah Hargai Komitmen, Bantuan Para Petugas Hospital Dan ‘Frontliners’ – Jahid

Sabah Hargai Komitmen, Bantuan Para Petugas Hospital Dan ‘Frontliners’ – Jahid

0
SHARE
Jahid (tengah), Joniston (kanan) dan Jasnih (kiri) bergambar bersama selepas selamat mendapatkan suntikan dos kedua...

TUARAN, SABAH – Komitmen dan bantuan para petugas hospital kepada pemimpin dan petugas barisan hadapan (frontliners) di kawasan ini sepanjang menerima suntikan Vaksin COVID-19 di Hospital Tuaran dihargai.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, beliau amat berterima kasih atas sumbangan khidmat yang diberi pihak hospital kepada mereka dan pemimpin masyarakat, serta frontliners sepanjang mendapatkan suntikan Vaksin COVID-19 di Hospital Tuaran.

“Budi yang baik dikenang jua, terima kasih kepada Pengarah Hospital Tuaran, Dr G Mohan dan seluruh kakitangan yang bertugas melayan kami sepanjang penerimaan suntikan vaksin ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menerima suntikan vaksin kedua COVID-19 di Hospital Tuaran, dekat sini pada Khamis.

Hadir sama memberikan sokongan ialah Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain dan Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Mohd Hamizi Bin Halim.

Katanya, di samping tugas hakiki dalam perubatan, pihak Hospital Tuaran juga sentiasa memberi input dan ilmu pengetahuan kepada masyarakat dengan mengadakan pelbagai program seperti ceramah dan kempen-kempen kesihatan yang bermanfaat.

“Sesungguhnya kerjasama di antara kakitangan Hospital Tuaran ini boleh dijadikan contoh kepada jabatan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Daerah Tuaran, Dr G. Mohan, berpesan kepada semua tetamu yang hadir agar sentiasa menjaga kesihatan diri dan tidak ragu-ragu mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin.

Pada program itu, Jahid bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, merangkap Adun Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai dan Timbalan Menteri Kewangan, yang juga Adun Pantai Dalit, YB Jasnih Hj Daya, selamat menerima suntikan dos kedua Pfizer-BioNTech, selang 21 hari selepas dos pertama yang telah diterima mereka pada 25 Mac 2021 yang lalu.