Tentera Myanmar Lepaskan Tembakan Kepada Kakitangan Perubatan

Tentera Myanmar Lepaskan Tembakan Kepada Kakitangan Perubatan

0
SHARE

YANGON, MYANMAR – Pasukan keselamatan Myanmar yang dianggotai oleh barisan Tentera Myanmar melepaskan tembakan ke arah tunjuk perasaan prodemokrasi oleh kakitangan perubatan di bandar Mandalay mengakibatkan seorang lelaki terbunuh dan beberapa cedera.

Ia adalah kempen berterusan penunjuk perasaan menentang tentera pada minggu sambutan Tahun Baru Myanmar dengan menganjurkan perarakan dan bantahan lain.

Kakitangan perubatan adalah antara kumpulan di barisan hadapan kempen itu, yang berkumpul lebih awal di bandar Mandalay dan cuba disuraikan oleh pasukan tentera dengan melepaskan tembakan dan menahan beberapa orang.

BBC dan media lain tidak mempunyai butiran mengenai angka korban atau tangkapan, namun media Khit Thit melaporkan seorang lelaki ditembak mati di perkarangan masjid berhampiran ketika tunjuk perasaan membabitkan doktor.

Seorang penduduk di kawasan masjid itu berkata tentera tiba di sana dan mula menembak secara rambang, mencederakan seorang yang kemudian dibawa ke hospital.

Sementara itu, junta mendakwa sekurang-kurangnya 19 doktor perubatan kerana turut serta dalam pergerakan ketidakpatuhan sivil (CDM), lapor sebuah akhbar milik kerajaan kelmarin.

Doktor terbabit dituduh menyokong dan terbabit dalam CDM dengan tujuan merosakkan jentera pentadbiran negara, lapor akhbar New New Light of Myanmar.

Kerajaan tentera juga mengeluarkan waran tangkap untuk 100 orang penggiat bidang sastera, filem, seni teater, muzik dan kewartawanan atas tuduhan menyebarkan maklumat yang merosakkan kestabilan negara dan kedaulatan undang-undang.

Sementara itu, pasukan keselamatan Myanmar menahan seorang pemimpin utama kempen menentang pemerintahan tentera, Wai Moe Naing, ketika mengetuai demonstrasi tunjuk perasaan bermotosikal di bandar Monywa.

Monywa menjadi antara lokasi awal demonstrasi membantah junta tentera pada 1 Februari lalu, yang mengheret Myanmar kembali ke kancah krisis selepas 10 tahun menikmati demokrasi.

Kumpulan aktivis, Persatuan Bantuan Tahanan Politik (PPAA) berkata pasukan keselamatan sudah membunuh sekitar 715 penunjuk perasaan sejak penggulingan pemerintah Aung San Suu Kyi.