Lapan Finalis Berentap Dalam Kategori Remaja MTHQ

Lapan Finalis Berentap Dalam Kategori Remaja MTHQ

0
SHARE
Mhtq
Sebahagian qari dan qariah kategori remaja MTHQN Negeri Sabah 2024 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Seramai lapan finalis berentap dalam Kategori Remaja Majlis Tilawah Al-Quran (MTHQN) Peringkat Negeri Sabah 1445H/2024, pada Rabu.

Membuka tirai tilawah di Dewan Sri Putatan hari ini ialah kategori yang kali pertama diperkenalkan iaitu kategori remaja yang dimulakan oleh qari dari Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (SMAKK), Syafiqur Rahman Adha Amiruddin.

Selain itu, empat peserta qari lagi ialah Ahmad Naufal Nahar (SMAKK), wakil Sekolah Toh Puan Hajah Rahmah (TPHR) Mohammad Hakeem Mohammad Hafeez dan Muhammad Arif Jamil serta peserta tunggal dari Darul Yatama, Hafizuddin Al Hilmi Amiruddin.

Bagi kategori qariah pula, tiga peserta bersaing iaitu wakil TPHR, Balqis Nur Danisha Bahri, pelajar SMAKK Rohaemi Mohd Yunus dan murid Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Beaufort, Nur Far’ain Ayani Muksin.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pegawai Daerah Putatan, Masawi Mohd Salleh tersebut turut diserikan dengan persembahan Qasidah Ar Raudhah Papar.

Para peserta dinilai oleh lapan jemaah hakim iaitu Nur Faten Izzati Rablin dan Imam Mohd Ayub Maidi bagi aspek tarannum serta tajwid oleh Mohd Hailmi Misbah dan Rahim Yahya Abdul Rahman.

Sementara itu, bagi penilaian fasahah diamanahkan kepada Abdul Khalil Hassan dan Mohd Fikri Putung manakala Mohd Nazri Apin dan Mazhair Shahroz Muhasip bagi aspek suara.

Para pemenang akan diumumkan pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah (MTHQN) Peringkat Negeri Sabah 1445H/2024, Jumaat ini. — JABATAN PENERANGAN SABAH