Sambutan Pesta Kaamatan Daerah Tuaran Bermula 4 Mei Ini

Sambutan Pesta Kaamatan Daerah Tuaran Bermula 4 Mei Ini

0
SHARE
Kaamatan
Hadzlan (duduk, lima dari kanan) bergambar kenangan selepas mempengerusikan mesyuarat ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat Daerah Tuaran )

TUARAN, SABAH – Sambutan Pesta Kaamatan Daerah Tuaran akan diadakan di Dewan Masyarakat Tun Hamdan, Tamparuli bermula 4 sehingga 8 Mei ini.

Pegawai Daerah Tuaran, Hadzlan Jablee berkata pemilihan lokasi tersebut adalah kelaziman penggiliran setiap tahun bagi daerah itu dan majlis perasmian akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Beberapa pengisian menarik telah disusun antaranya pertandingan Sugandoi Kaamatan (saringan 21 April, 10.00 pagi dan pusingan akhir 4 Mei, 7.00 malam) yang akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.

“Manakala Pertandingan Unduk Ngadau akan diadakan pada 8 Mei jam 1.00 petang) dan disempurnakan oleh isteri kepada Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag.

“Pondok Moginakan, pameran dan gerai-gerai jualan juga akan diadakan di padang Pekan Tamparuli dan perkarangan Dewan Masyarakat Tun Hamdan sepanjang sambutan Pesta Kaamatan Daerah Tuaran ini berlangsung,” kata Hadzlan selepas mempengerusikan mesyuarat sambutan tersebut, pada Khamis.

Pengerusi-pengerusi pelaksana adalah Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging bagi acara Sugandoi, Penolong Pegawai Daerah Tuaran, Hannevy W.Harry (Unduk Ngadau) dan Penolong Pegawai Kiulu, Leprus Esuvas @ Giswa, (Sukan Rakyat Bina Badan).

Untuk rekod, Tuan Rumah bagi Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada tahun ini ialah Daerah Ranau yang bertemakan Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan atau dalam bahasa Kadazan-Dusunnya “Kaamatan, Poingalib Kohimaganan Taakanon”. — JABATAN PENERANGAN SABAH