Wanita Warga Emas Hilang di Pitas, Operasi Mencari 4KM Ditangguh

Wanita Warga Emas Hilang di Pitas, Operasi Mencari 4KM Ditangguh

0
SHARE

PITAS: Seorang wanita warga emas dilaporkan hilang di kawasan hutan Kampung Bawang, di sini, dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) meliputi radius empat kilometer ditangguhkan pada petang tadi.

Mangsa, Sarina Samam Kassim, 80 tahun, dipercayai keluar dari rumah sekitar jam 4 petang pada 22 Mac lalu sebelum gagal dikesan sehingga kini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.18 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas tiba di lokasi pada jam 10.30 pagi.

Operasi SAR yang melibatkan tiga anggota BBP Pitas bersama agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan 15 orang awam telah digerakkan di sekitar lokasi terakhir mangsa dilihat.

Bagaimanapun, operasi berkenaan ditangguhkan pada jam 5 petang hari ini atas faktor keselamatan dan akan disambung semula pada esok pagi.

Dalam pada itu, Ketua BBP Pitas, PBK I Sentay Bakau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi dengan memperluaskan kawasan pencarian serta meneliti semua maklumat yang diterima.

Operasi SAR ditangguhkan petang ini dan akan disambung semula esok pagi dengan penilaian semula kawasan pencarian. Kami juga mendapatkan maklumat tambahan daripada ahli keluarga serta penduduk kampung bagi membantu usaha mengesan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menjalankan pencarian secara bersendirian dan segera menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa.

Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.