KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 54 tahun melecur 20 peratus pada badan selain patah kaki kanan dalam kebakaran sebuah bengkel kereta di Jalan Nountun, Inanam, awal pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.35 pagi itu, seorang lelaki berusia 56 tahun turut mengalami kecederaan melecur pada kaki kanan, manakala tiga kenderaan musnah sepenuhnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.35 pagi sebelum pasukan bomba tiba di lokasi empat minit kemudian.
“Setibanya pasukan bomba, kebakaran didapati melibatkan sebuah stor berkeluasan 50 kaki x 40 kaki serta bengkel kereta berkeluasan 75 kaki x 40 kaki yang terbakar kira-kira 40 peratus.
“Tiga kenderaan turut musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu, masing-masing sebuah lori lima tan, Honda Accord dan Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba sebelum dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, seramai 26 anggota dari BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu terbabit dalam operasi pemadaman dengan bantuan jentera bomba serta lori tangki air.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.23 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.50 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.
Turut membantu operasi ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).






