KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah telah mengiringi kepulangan terakhir anggota Pasukan Polis Marin (PPM), Sarjan Johnson Bai, 55 tahun menerusi penerbangan ihsan (Bodevac) ke kampung halamannya di Kampung Topokon, Tamparuli, Tuaran bagi urusan pengebumian.
Operasi tersebut menggunakan pesawat Textron 208 (9M-PSQ) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlepas dari Lapangan Terbang Sandakan sebelum mendarat di Pangkalan PGU Sabah pada Jumaat lalu.
Jenazah mendiang kemudiannya dibawa ke Kampung Topokon untuk disemadikan.
Turut mengiringi jenazah ialah balu mendiang, Nelly @ Welhelmina Juanin, bersama pegawai serta anggota pengiring dari Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan.
Mendiang terdahulu dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Duchess of Kent, Sandakan pada kira-kira jam 8.31 pagi Khamis lalu.
Mendiang turut meninggalkan lima cahaya mata, Joel Yves, 21; Charley Chester, 19; Noel Dwayne,17; Harvey Lexter, 14; Amenda Emmanuella, 13.
Mendiang sebelum ini berkhidmat di Bahagian Kejuruteraan, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Sandakan.
Sementara itu, Komander Pangkalan PGU Sabah, ACP Ras Nazrin Shah Abdullah mewakili seluruh warga pasukan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergiannya.






