UMS Salur Bekalan Kesiapsiagaan Bencana Perkukuh Respon Awal Komuniti Kota Belud

UMS Salur Bekalan Kesiapsiagaan Bencana Perkukuh Respon Awal Komuniti Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyalurkan bekalan kesiapsiagaan bencana kepada komuniti Kampung Melangkap Kapa sebagai langkah memperkukuh keupayaan penduduk bertindak sebagai responden awal dalam menghadapi insiden kebakaran, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Makmal Hidup Bencana Alam (MaHBAM) UMS dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Belud.

Program berkenaan melibatkan penyerahan alat pemadam api kepada Task Force Bencana Kampung Melangkap Kapa bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba.

Pelaksanaan program tersebut adalah susulan kejadian kebakaran pada 21 Februari lalu yang memusnahkan 12 buah rumah serta merosakkan tiga lagi kediaman di kampung berkenaan.

Insiden itu turut mendedahkan kekurangan peralatan pemadaman kebakaran di peringkat komuniti selain cabaran akses jentera bomba untuk memasuki kawasan kampung.

Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, penyediaan bekalan kesiapsiagaan bencana bertujuan memperkukuh keupayaan komuniti bertindak sebagai responden awal ketika berdepan situasi kecemasan.

Tindakan awal yang pantas oleh komuniti mampu membantu mengawal kebakaran pada peringkat awal, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerugian harta benda sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Bagi memastikan peralatan yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara optimum, JBPM Kota Belud turut mengendalikan latihan praktikal penggunaan alat pemadam api bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penduduk mengendalikan situasi kecemasan secara selamat dan berkesan.

“Pendekatan yang menggabungkan penyediaan peralatan serta latihan praktikal ini dijangka dapat memperkukuh budaya kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti, di samping meningkatkan keyakinan penduduk untuk bertindak segera dalam menghadapi sebarang insiden kebakaran,” katanya.

Dalam majlis itu, Carolyn menyampaikan bekalan kesiapsiagaan bencana kepada Ketua Kampung Melangkap Kapa, James Palit, yang mewakili Task Force Bencana kampung berkenaan.