KOTA KINABALU: Dugaan sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadan, empat buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, petang kelmarin.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 2.54 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian, dengan jarak operasi sejauh tiga kilometer.
Ketua Balai BBP Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, kebakaran melibatkan empat rumah berkeluasan 20 x 30 kaki setiap satu dan kesemuanya terbakar 100 peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.25 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.05 petang.
“Seramai 24 anggota dari BBP Kota Kinabalu dibantu lima anggota dari BBP Putatan serta 27 anggota Bomba Komuniti Tanjung Aru terlibat dalam operasi tersebut.
“Turut membantu ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Pasukan bomba menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan air bagi memadam kebakaran, dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Tindakan pantas membina fire break berjaya menghalang api daripada terus merebak ke rumah berhampiran sekali gus mengurangkan risiko kerosakan lebih besar.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Operasi melibatkan kekuatan keseluruhan 29 anggota bersama logistik dua jentera FRT, sebuah Water Tanker, EMRS, RIM serta kenderaan utiliti.






