PETALING JAYA: Pemilik bangunan atau kediaman yang menyewakan premis mereka kepada sindiket dadah boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 31 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sekiranya didapati bersubahat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata, kesalahan tersebut boleh membawa hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut beliau, siasatan mendapati kebanyakan sindiket dadah menjadikan premis kilang, kediaman dan pejabat sebagai lokasi memproses bahan terlarang.
“Banyak premis disewa dengan kadar bayaran melalui akaun pengendali lapis kedua ejen hartanah,” katanya seperti dipetik dalam laporan asal Utusan Malaysia.
Beliau menjelaskan, pemilik premis tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya mengetahui premis mereka digunakan untuk aktiviti jenayah tetapi gagal mengambil langkah sewajarnya.
“Seksyen 31 ADB 1952 memperuntukkan hukuman berat kepada mana-mana pihak yang bersubahat. Dua-dua seksyen ini melibatkan perbuatan mengedar dan memiliki dadah serta liabiliti jenayah terhadap individu yang terbabit,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis memberi amaran kepada pemilik premis agar lebih berwaspada dan memastikan tujuan sebenar penyewaan bagi mengelakkan disalahgunakan.
Menurut laporan sama, sepanjang tahun lalu sebanyak 19 makmal dadah haram berjaya ditumpaskan oleh JSJN Bukit Aman. Sebahagian besar makmal tersebut dikesan beroperasi di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor, manakala dua lagi di Pulau Pinang.
“Sindiket menggunakan premis kediaman, pejabat dan kilang bagi mengaburi pihak berkuasa dengan menyamar sebagai aktiviti perniagaan sah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, terdapat premis yang beroperasi dengan bahan kimia, bunyi mesin dan penggunaan elektrik yang tinggi untuk mengelirukan pihak berkuasa, kononnya menjalankan perniagaan mencuci kenderaan, kedai elektrik atau pusat pengeluaran dan pengedaran makanan.
“Semua elemen penting untuk memproses dadah sintetik lengkap, selain lokasi strategik berhampiran rangkaian jalan utama memudahkan pergerakan bahan mentah serta produk siap,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya pemilik premis dinasihatkan agar melakukan tapisan penyewa secara menyeluruh dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras sindiket dadah yang semakin licik.






