KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan Kudat, kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata bot nelayan terbabit bersama 20 orang kru termasuk tekong berusia lingkungan 18 hingga 51 tahun itu telah ditahan di kedudukan lebih kurang 34 batu nautika dari Tanjung Simpang Mengayau.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Pemeriksaan juga menemukan peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis.