KOTA KINABALU, SABAH – Sabah menyasarkan pungutan 40 pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata kontinjen SUKMA Sabah mempunyai hasrat yang amat tinggi untuk memenangi lebih banyak pingat emas pada temasya SUKMA 2024 di Sarawak.
“Penganjuran Sukan Sabah Edisi Ke-10 (SAGA X) ini merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk mengenal pasti atlet yang berpotensi bagi membawa cabaran negeri Sabah dalam kejohanan peringkat kebangsaan, khususnya SUKMA.
“SAGA X merupakan platform kepada ahli-ahli sukan atau atlet daripada 28 daerah di seluruh Sabah, bertanding sebelum dikenalpasti dan dipilih mewakili negeri untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak yang akan berlangsung pada Ogos 2024.
“Impian kita adalah untuk merealisasikan azam membawa pulang 40 pingat emas dari temasya sukan nombor satu negara itu,” katanya semasa Majlis Perasmian Pembukaan SAGA X di Stadium Universiti Malaysia Sabah, pada Sabtu.
Ellron turut memberi tahu bagi daerah Kota Kinabalu selaku tuan rumah, seramai 3,118 atlet dan pegawai terlibat manakala di Tuaran seramai 1,298.
Selain mengetengahkan atlet berpotensi, SAGA X juga mempunyai objektif meningkatkan taraf teknikal sukan iaitu memberi peluang dan pendedahan kepegawaian selain menggalakkan penggunaan kemudahan sukan sedia ada. — JABATAN PENERANGAN SABAH