Parit Pasar Malam Todak Dibersihkan Selepas Lima Tahun

Parit Pasar Malam Todak Dibersihkan Selepas Lima Tahun

0
SHARE
Safma
Mohammad mencangkul tanah dan sampah terperangkap dalam parit sebagai gimik perasmian gotong royong pasar malam Safma

KOTA KINABALU, SABAH – Parit pasar malam Todak di pusat bandaraya ini yang terkenal dengan makanan lautnya akhirnya dibersihkan selepas lima tahun.

Usaha itu menerusi semangat gotong royong melibatkan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) dan Persatuan Pengusaha Pasar Malam Todak pada pagi Sabtu.

Pekerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang membersihkan parit tersebut setelah membuka penutup konkrit menemui ianya tersumbat dengan tanah dan sampah.

Pengerusi SAFMA, Mohammad Mohamarin yang juga ADUN Banggi berkata pembersihan kawasan itu sudah terlalu lama tertangguh.

“Ini perlu menjadi acara tahunan bagi memastikan infrastruktur Todak dan tahap kebersihannya terus terjaga bukan sahaja untuk penduduk tempatan tetapi di mata pelancong antarabangsa.

“Sabah terkenal dengan keindahan semula jadi dan makanan lautnya. Oleh itu, perkara ini harus ditekankan dan ianya juga sering diterjemahkan oleh penjual makanan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata banyak tempat-tempat ‘kecil’ seperti Todak sering terlepas pandang kerajaan negeri.

“Oleh yang demikian, saya berharap selepas ini isu perparitan ini tidak lagi timbul supaya sebarang bau kurang menyenangkan yang boleh mematahkan semangat pelanggan tidak menjadi masalah lagi,” tambahnya.