KOTA KINABALU: Kerjasama kukuh antara kerajaan dan sektor swasta mampu memacu pertumbuhan ekonomi Sabah, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan, pelaburan dan pekerjaan untuk rakyat negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan mempunyai peranan penting dalam menyediakan persekitaran kondusif untuk pertumbuhan perniagaan dan pelaburan melalui dasar bersesuaian, infrastruktur, kesalinghubungan, fasilitasi serta bentuk sokongan lain.
Bagaimanapun, katanya, usaha membentuk masa depan ekonomi Sabah tidak boleh digalas kerajaan secara bersendirian dan memerlukan penyertaan aktif sektor swasta, khususnya ketua pegawai eksekutif (CEO), usahawan serta pemimpin industri.
“Kerajaan tidak mampu membina masa depan ekonomi Sabah secara bersendirian. Sebab itu, penyertaan kukuh sektor swasta, khususnya CEO, usahawan dan pemimpin industri amat penting dalam melengkapi usaha kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat.
“Saya percaya pemimpin-pemimpin industri mempunyai peranan penting dalam membentuk fasa seterusnya pembangunan ekonomi Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan pada program CEO Masterclass 2026 anjuran Sabah Young Business and Industry Leaders (SYBIL) dan Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Program bertemakan ‘Leadership In Action – Beyond Certainty’ itu disertai lebih 400 CEO, pemilik dan pemimpin perusahaan serta industri, ketua jabatan dan peserta.
Ewon berkata, pengetahuan dan pengalaman yang dikongsikan pemimpin industri akan menjadi lebih bernilai sekiranya diterjemahkan kepada idea baharu, kerjasama perniagaan, pelaburan dan inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Pengetahuan dan pengalaman yang dikongsikan akan menjadi lebih bernilai apabila ia menghasilkan idea baharu, kerjasama perniagaan, pelaburan dan inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah,” katanya.
Menurutnya, CEO Masterclass tidak seharusnya menjadi sekadar platform mendengar pembentangan dan bertukar pandangan, sebaliknya perlu menghasilkan tindakan serta kerjasama yang memberi impak kepada pembangunan ekonomi Sabah.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan peserta memanfaatkan program berkenaan untuk bertukar idea dan pengalaman, membina jaringan merentasi industri serta meneroka peluang kerjasama baharu.
Ewon turut berharap perkongsian pengetahuan, pengalaman, idea dan jaringan menerusi CEO Masterclass 2026 dapat berkembang menjadi peluang perusahaan baharu, mewujudkan pekerjaan serta membuka lebih banyak kerjasama perniagaan dalam kalangan peserta.
Turut hadir Presiden SYBIL, Datuk James Wong dan Presiden MICCI Sabah, Datuk Susan Chang.






