Beli Baju Fesyen Bollywood, Tapi Dapat Selipar RM2, Suri Rumah Ditipu Peniaga...

Beli Baju Fesyen Bollywood, Tapi Dapat Selipar RM2, Suri Rumah Ditipu Peniaga Online

0
SHARE
Shures menunjukkan selipar yang diterima isterinya selepas ditipu peniaga online. (Sumber: SinarHarian)

JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah di Taman Johor Jaya ditipu peniaga online apabila menerima bungkusan berisi selipar Jepun berharga RM2 yang sebelumnya dianggap adalah baju fesyen Bollywood yang ditempah menerusi sebuah platform e-dagang.

Suaminya, P Shures, 43 berkata, isteri beliau menerima satu kotak bungkusan pada petang Ahad selepas membelinya pada 7 Februari lalu dan mula mencurigai bungkusan tersebut apabila mendapati isi kandungannya kecil, nipis dan ringan.

“Selalunya penjual baju menggunakan bungkusan plastik untuk pakaian namun kali ini isteri saya yang pernah membeli baju secara dalam talian menerima bungkusan kotak.

“Apabila dibuka, kami terkejut kerana ia bukan baju tradisional fesyen Bollywood yang dibeli, sebaliknya hanya selipar Jepun dipercayai berharga RM2,” katanya, lapor Sinar Harian di sini, hari ini.

Shures yang merupakan penyelaras logisitik berkata, isterinya tertarik untuk membeli pakaian dan selendang itu selepas penjual berkenaan mengiklankannya dengan kategori ‘Best Sellers’ termasuk semua pakaian tradisional India, Melayu, Cina yang bernilai serendah RM30.

Kongsinya, isteri beliau merasa pelik kerana tawarannya yang sangat murah tapi menyangka ia mungkin jualan penghabisan stok hujung tahun.

Tambah Shures, sebelum membuat pembelian, isterinya juga yakin kerana dalam media sosial syarikat berkenaan ada mencatatkan bilangan pembeli yang telah membeli pakaian mereka.

“Namun, yang peliknya, tiada ulasan dipaparkan walaupun tercatat bilangan pembeli. Mungkin ini taktik penjual berkenaan yang dipercayai ‘scammer’ bagi meyakinkan dan mengaburi mata pelanggan.

“Isteri saya pulangkan semula selipar itu kepada penghantar barang dan berharap pengurusan platform terbabit melakukan tapisan peniaga sebelum memberi kebenaran untuk beroperasi,” tegasnya.

Menurutnya lagi, kejadian tersebut bukan sahaja menjejaskan reputasi platform e-dagang berkenaan malah turut mengakibatkan pelanggan tertipu.

“Diharap penjual berkenaan kena ‘blacklist’ supaya tidak kembali beropersi,” katanya.