Maulidur Rasul: Hajiji Seru Nilai Amanah, Keadilan Jadi Asas Pembangunan Sabah

Maulidur Rasul: Hajiji Seru Nilai Amanah, Keadilan Jadi Asas Pembangunan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru nilai amanah, keadilan, ihsan dan keprihatinan yang ditunjukkan Rasulullah SAW dijadikan asas dalam melaksanakan pembangunan Sabah, seiring usaha membentuk masyarakat berilmu, berintegriti dan berakhlak.

Beliau berkata, kemajuan sebenar Sabah tidak boleh hanya diukur melalui pembangunan fizikal, pertumbuhan ekonomi atau kecanggihan teknologi, sebaliknya perlu disertai pembangunan insan yang mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

Menurutnya, pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW menunjukkan pembangunan sesebuah masyarakat perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memperkukuhkan persaudaraan, memelihara kebajikan serta meletakkan prinsip keadilan sebagai asas kehidupan bersama.

Baginda membuktikan bahawa kekuatan kepimpinan bukan hanya terletak kepada kekuasaan, tetapi kepada keupayaan membina kepercayaan, berlaku adil serta memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan pembangunan dilaksanakan secara inklusif dan memberi manfaat seluas-luasnya kepada rakyat, termasuk masyarakat di bandar dan luar bandar.

“Kita mahu membina sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari sudut ekonomi dan pembangunan, tetapi turut mempunyai masyarakat yang kukuh nilai moralnya, tinggi integritinya dan erat hubungan sesama mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu nilai amanah diterjemahkan dalam setiap lapisan masyarakat termasuk kepimpinan dan perkhidmatan awam.

“Bagi penjawat awam, amanah hendaklah diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti.

“Bagi pemimpin, amanah bermaksud meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bagi masyarakat pula, amanah diterjemahkan melalui sikap bertanggungjawab, menghormati undang-undang serta bersama-sama memelihara keamanan dan keharmonian negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji mengingatkan masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya supaya terus menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan serta asas kepada perpaduan dan keharmonian negeri.

Beliau berkata, keamanan dan kestabilan merupakan prasyarat penting kepada pembangunan kerana tanpa perpaduan, agenda pembangunan yang dirancang akan menjadi lebih sukar direalisasikan.

“Saya menyeru seluruh rakyat supaya terus memelihara semangat perpaduan dan keharmonian yang telah lama menjadi kekuatan negeri Sabah.

“Janganlah perbezaan pandangan, fahaman mahupun latar belakang menyebabkan hubungan sesama kita menjadi renggang. Sebaliknya, kita hendaklah memperbanyakkan titik persamaan, membudayakan dialog yang matang serta menyelesaikan perbezaan dengan penuh hikmah,” katanya.

Hajiji turut menekankan kepentingan membentuk generasi muda yang bukan sahaja berpendidikan dan berkemahiran, tetapi mempunyai jati diri serta akhlak kukuh ketika berdepan perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), ledakan maklumat dan perubahan sosial.

Katanya, teknologi dan media sosial perlu dimanfaatkan untuk menimba ilmu, membangunkan kemahiran dan meningkatkan produktiviti, bukannya menyebarkan maklumat tidak sahih, fitnah, penghinaan atau kandungan yang boleh merosakkan hubungan masyarakat.

“Kita mahu melahirkan generasi muda Sabah yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, tetapi dalam masa yang sama tetap teguh jati dirinya, tinggi akhlaknya dan mempunyai rasa tanggungjawab kepada agama, masyarakat, negeri dan negara,” katanya.

Sempena sambutan Maulidur Rasul itu, Hajiji menyeru umat Islam di Sabah memperkukuhkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menterjemahkannya melalui amalan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, penerapan nilai murni Rasulullah SAW dalam kehidupan individu, keluarga dan masyarakat serta pentadbiran dan pembangunan mampu membantu membina Sabah sebagai negeri yang lebih maju, aman, sejahtera dan diberkati Allah SWT.