Penduduk Kg Nosoob Baru Muak Dengan Jalan Raya Rosak

Penduduk Kg Nosoob Baru Muak Dengan Jalan Raya Rosak

0
SHARE

PENAMPANG: Penduduk Kampung Nosoob Baru menuntut tindakan segera daripada pihak berkuasa selepas lebih setahun terpaksa berdepan keadaan jalan yang rosak teruk, membahayakan keselamatan dan menyebabkan kerosakan harta benda.

Bendahari Parti Impian Sabah merangkap Ketua Bahagian Kapayan, Michelle Chin Ling Ling, berkata walaupun beberapa aduan telah dikemukakan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), tiada tindakan konkrit diambil sehingga kini.

“Jawapan yang diterima hanya ‘menunggu peruntukan’. Penangguhan ini menyusahkan penduduk setiap hari,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai untuk memberi tekanan kepada UPPM melalui media sosial agar pembaikan jalan disegerakan.

“Masyarakat berhak mendapat jalan yang selamat dan boleh diakses. Kita tidak boleh terus menunggu,” tegasnya.

Seorang penduduk, Eric Constantine, berkata tayarnya koyak selepas melanggar lubang di jalan kampung yang telah lama tidak dibaiki.

“Kami sudah maklum kepada JKKK, tapi masih tiada tindakan. Tiba-tiba dengar pegawai PPM letak jawatan lepas masuk parti bebas.

“Rakyat tak kisah dia keluar parti atau tidak kami cuma mahu seseorang yang boleh buat kerja.

“Ini soal keselamatan, bukan politik. Kalau penunggang motosikal cedera kerana lubang, siapa yang tanggung? Dan di mana saya boleh tuntut ganti tayar saya?” katanya sinis.